Pukau juri antarabangsa


JIKA penyanyi tersohor tanah air, Datuk Siti Nurhaliza mampu memenangi lebih 100 anugerah dari dalam dan luar negara, tidak kurang hebat juga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Victoria atau lebih popular dengan nama Victoria Institution (VI) melalui pasukan pancaragamnya.

Victoria Institution Cadet Corps Band atau VICCB kini bukan saja gah di peringkat tempatan tapi juga tersohor di pentas antarabangsa bersesuaian kewujudan VI lebih seabad lalu hingga diisytiharkan satu daripada seni bina Warisan Kebangsaan dan statusnya sebagai gedung ilmu yang melahirkan beberapa tokoh pemimpin negara.

Berkongsi sejarah panjang penubuhan VI, VICCB yang ditubuhkan pada 1909 berjaya mencatatkan beberapa episod manis apabila terpilih untuk membuat persembahan di luar negara dan mencipta kemenangan untuk menjulang nama Malaysia.

VICCB sudah merangkul puluhan anugerah, termasuk empat kali memenangi pingat emas di World Championship for Marching Show Bands iaitu pada 2000 di Kanada, 2003 (Itali), 2005 (Belanda), Kuala Lumpur (tahun lalu).

Baru-baru ini, mereka bergelar juara World Band Challenge 2009 di San Felice Sul Penaro, Modena, Itali, sekali gus membuka mata ramai pihak bukan sahaja di negara ini tetapi pasukan lawan, termasuk juara bertahan, Belanda dan tuan rumah, Itali yang mengakui pasukan dari Malaysia itu adalah antara yang terbaik di dunia.

Kali pertama tampil dalam pertandingan bertaraf jemputan membabitkan enam negara itu, VICCB mempersembahkan aksi bertemakan Volcano, dengan formasi pergerakan menarik diiringi kombinasi lagu teater muzikal dan filem Puteri Gunung Ledang.

Seramai 93 pelajar tingkatan satu hingga lima berjaya memukau penonton dan juri sebelum meraih mata kemenangan tipis mengalahkan Belanda serta tiga pasukan tuan rumah dan Ukraine.

Kemenangan itu hadiah paling berharga kepada VI dan juga VICCB sendiri yang menyambut ulang tahun ke-100 penubuhannya tahun ini.

Penolong Kanan Ko-Kurikulum SMK Victoria dan juga Timbalan chef-de-mission VICCB ke Modena, Othman Abd Samad (En. Semang), berkata kejayaan itu hasil kerja keras pelajar yang begitu komited terhadap latihan sejak awal tahun.

Menurutnya, menyedari penyertaan pasukan bertaraf dunia membuatkan VICCB nekad untuk memberikan persembahan terbaik, sekali gus membuktikan kemampuan Malaysia.

“Kita bukan pergi hanya untuk menyertai pertandingan tetapi juga bertindak sebagai Duta Kecil Malaysia untuk memperkenalkan lagi negara kita di mata dunia.

Selain kesungguhan pelajar dalam VICCB, Othman menghargai sokongan yang diberikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Menteri Pelajaran.

Begitu juga kepada Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek, yang menyokong usaha VICCB melalui Rakan Muda, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin dengan sokongannya melalui Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Petronas serta syarikat swasta atas bantuan kewangan.

Ketua pasukan VICCB atau dalam istilah pancaragam dipanggil Band Major, Abdullah Imran Abdullah Hashim, 18, berkata memandangkan saingan di Modena cukup sengit, dia bersama rakan memberikan persembahan terbaik sebelum dapat mengatasi Belanda hanya dengan 12 mata.

Menurutnya, dia bersyukur dan menganggap kemenangan terbabit sebagai satu penghormatan kepada VICCB.

Kemantapan VICCB juga adalah hasil pengalaman yang diraih pelajar yang membuat persembahan di luar negara, antaranya Festival Pancaragam Antarabangsa 1996 di Australia, Festival Pancaragam Dunia 1998 di Jepun dan Festival Muzik Shanghai 2008.

“Untuk World Band Challenge 2009, kami menjalani latihan agresif, tambahan pula pertandingan itu pertama yang kami sertai tahun ini,” katanya.

Menurutnya, semua 92 anggota VICCB yang berusia dalam lingkungan usia 13 hingga 24 itu melakukan latihan intensif tiga kali seminggu setiap Sabtu, Isnin dan Rabu untuk memantapkan persembahan mereka.

Untuk memikat juri, pihaknya mencipta beberapa kelainan dalam persembahan iaitu dengan menetapkan tema pada persembahan supaya nampak lebih eksklusif.

“Sebenarnya kami mula menetapkan tema untuk setiap persembahan sejak dua tahun lalu. Pada 2007, persembahan kami bertemakan peperangan dan untuk 2008 pula, kami mempersembahkan lagu Sudirman.

“Untuk World Band Challenge 2009, kami memilih tema ‘Volcano’. Ini bermakna, lagu yang dipersembahkan lebih bertenaga, ceria dan ‘menggelegak’,” kata Abdullah Imran yang menyertai VICCB sejak tingkatan satu.

Selain itu, pihak pengurusan VICCB menjemput dua jurulatih dari Thailand untuk memberi bimbingan dan membentuk rutin persembahan yang lebih menarik serta ada unsur ketimuran seperti menyelitkan permainan kompang dalam persembahan.

Bagi Drum Major, Mohd Ali Zainal Abidin, 17, yang berperanan mengetuai perbarisan, tanggungjawabnya sangat berat dan perlu dilakukan dengan berhati-hati.

“Sebagai Drum Major, saya berada di depan sekali dan memberi arahan kepada rakan bermain muzik. Saya perlu menghayun tongkat yang dipanggil ‘mace’ dengan betul dan pergerakan juga perlu kemas.

“Antara arahan penting ialah apabila ‘mace’ dilambung ke udara dan disambut kembali, ia bermaksud pasukan pancaragam perlu menghabiskan lagu,” katanya.

Ketua Colour Guard VICCB, Huzaimi Abu Bakar, 18, pula berkata penubuhan pasukan Colour Guard dalam VICCB adalah satu lagi pembaharuan.

Katanya, walaupun peranan ‘Colour Guard’ nampak kecil kerana hanya perlu memegang bendera atau panji sambil berkawad, ia sebenarnya penting untuk membawa kesan dramatik pada persembahan pancaragam.

“Bukan mudah untuk menjadi ‘Colour Guard’. Selain memegang panji dan berkawad, kami perlu melakukan pergerakan kreatif seperti menari,” katanya yang sebelum ini bermain ‘bagpipe’, alat muzik tradisional Scotland.

Sementara itu, bekas pelajar VI yang menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Nor Hazwan Hisham, 24, masih menyertai VICCB walaupun sudah melanjutkan pelajaran.

Menurutnya, dia menganggotai pasukan pancaragam itu kerana mahu mencurahkan pengalaman dan kepakaran kepada ahli baru.

“Saya sayangkan VICCB, justeru saya ingin terus berkhidmat untuknya jika ada kelapangan. Lagipun saya boleh mengisi masa cuti semester dengan aktiviti berfaedah,” katanya yang bermain dram jenis ‘Queentoms’.

Sebagai veteran selepas 12 tahun bersama VICCB, Nor Hazwan berkata, ada banyak perbezaan dalam pasukan pancaragam dulu dan sekarang.

“Perbezaan paling ketara adalah daripada segi muzik dan formasi. Dulu, persembahan mengutamakan protokol dan disiplin tinggi dengan gaya persembahan ala tentera, tapi kini susunan muzik lebih segar dengan fokus banyak diberi pada kekemasan pergerakan,” katanya.

>Info

  • Ditubuhkan pada 1909 oleh Bennet Eyre Shaw
  • Menggunakan moto ‘Rise to the Occasion’
  • Mempunyai tiga bahagian iaitu dram, brass dan bagpipers
  • Juara pertandingan peringkat Wilayah Persekutuan selama sembilan tahun berturut-turut (1999 — 2008)
  • Sepuluh kali juara pertandingan peringkat kebangsaan (1980, 1992, 1994, 1995, 1997, 1999, 2000, 2001, 2003 dan 2008)
  • Menang pingat emas World Championship for Marching Show Bands pada 2000, 2003, 2005 dan 2008
  • Menyertai Festival Pancaragam Antarabangsa 1996 di Australia; Festival Pancaragam Dunia 1998 di Jepun; upacara pembukaan dan penutupan Sukan Komanwel Kuala Lumpur 1998; upacara pembukaan Sukan SEA Kuala Lumpur 2001; Festival Muzik Shanghai 2008
  • Juara World Band Challenge 2009 di Modena, Itali

    Profil

    NAMA: Abdullah Imran Abdullah Hashim

    Umur: 18 tahun

    ASAL: Salak Selatan, Kuala Lumpur

    PENDIDIKAN: Tingkatan enam

    PERANAN: Band Major dan pemain bagpipe

    Profil

    NAMA: Mohd Ali Zainal Abidin

    UMUR: 17 tahun

    ASAL: Ampang, Kuala Lumpur

    PENDIDIKAN: Tingkatan lima

    PERANAN: Drum Major

    Profil

    NAMA: Nor Hazwan Hisham

    UMUR: 24 tahun

    ASAL: Danau Kota, Kuala Lumpur

    PENDIDIKAN: Diploma Pentadbiran Awam, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun, Terengganu

    PERANAN: Pemain dram

    Profil

    NAMA: Huzaimi Abu Bakar

    UMUR: 18 tahun

    ASAL: Brickfields, Kuala Lumpur

    PENDIDIKAN: Tingkatan enam

    PERANAN: Ketua pasukan `Colour Guard’

  • Leave a Reply

    Fill in your details below or click an icon to log in:

    WordPress.com Logo

    You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

    Twitter picture

    You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

    Facebook photo

    You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

    Google+ photo

    You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

    Connecting to %s


    %d bloggers like this: